KETRAMPILAN PARA PESERTA DITERUSKAN PADA EDISI PEMBUKAAN


CHENOR | 30 MAC 2018 | PERTANDINGAN telah memasuki edisi pertama dengan semua acara sekolah rendah dipertandingkan pada malam ini. Hanya Syarahan kategori lelaki sahaja dipertandingkan bagi memenuhi acara kategori sekolah menengah pada malam ini. Acara berjalan dengan baik dan para peserta begitu bersemangat walaupun malam menutupi pemandangan dari luar. Riuh rendah kanak-kanak bermain di luar dengan limpahan cahaya neon bukanlah halangan kepada kelancaran acara.

Di dewan Al Farabi berlangsungnya tilawah kategori lelaki dan perempuan sekolah rendah dengan memperdengarkan bacaan secara selang-seli antara peserta lelaki dan perempuan. Kemerduan dan kelunakan suara para peserta memecah kesunyian malam. Tanpa disedari bahawa malam semakin menghampiri jam 11.00 malam tetapi para peserta tekun mengalunkan irama-irama tilawah yang memukaukan para juri.

Terdapat 3 lokasi lain selain daripada lokasi di dewan utama ini, iaitu Syarahan di PRA-U, Bercerita Kisah dari Al-Quran di Surau dan Hafazan di Pusat Sumber Sekolah. Suasana di sekitar meriah dengan penonton yang berulang alik untuk menyaksikan acara yang dipertandingkan. Paling mendapat sambutan ialah di dewan, iaitu acara tilawah. Mungkin acara ini digemari kerana kelunakan alunan ayat-ayat suci Al-Quran dapat menarik minat para penonton. Kelihatan beberapa orang penonton dari luar yang meluang masa untuk menikmati alunan ayat-ayat suci Al-Quran dari para peserta yang mengambil bahagian.



Kesemua acara dijalankan secara serentak dengan juri yang berbeza. Mereka sangat arif dalam bidang masing-masing dan tekun membuat penilian terbaik.  Pemenang akan mewakili negeri Pahang ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi.


Secara keseluruhannya, acara pada malam ini meriah dengan kehebatan para peserta yang rata-ratanya begitu bersemangat serta berjiwa hebat sebagai pemenang peringkat daerah. Selayaknya mereka terpilih di peringkat daerah kerana bakat mereka sangat teserlah di sini serta memiliki ketrampilan sebagai seorang jaura. Mungkin para hakim memerlukan ketelitian yang tinggi sebelum membuat keputusan yang adil.

Walaupun penat kerana perjalanan yang jauh untuk pertandingan ini, namun dari riak wajah para peserta yang bertanding pada malam ini tidak menunjukan mereka penat, letih dan mengatuk. Mereka lebih teruja untuk bertanding berbanding kepenatan perjalanan. Semoga mereka mendapat kejayaan yang diimpikan.

Kesimpulannya, edisi kali ini boleh dikatakan diwakili oleh para peserta yang mempunyai jati diri yang utuh, sikap bersaing yang jitu serta kemampuan membawa kelainan yang tinggi. Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan sehingga mencipta nama yang lebih cemerlang di pentas yang lebih hebat. Diharapkan ada wakil juara kita pada edisi ini yang mengharumkan negeri Pahang di pentas Kebangsaan nanti. Insha Allah.

Foto : Mohd. Afendi

Post a Comment

0 Comments